Bolehkah Kesilapan Dipadam?

Hidup manusia pastinya tidak terlepas dari melalukan kesilapan.

Namanya pun manusia......


Pernah juga orang bertanya. Bolehkah kita memadam kesilapan yang pernah atau telah dilakukan?


Jawapannya adalah Boleh.
Kesilapan itu pastinya boleh dipadam jika kena dengan keadaan dan caranya.
Mungkin kerana itu jugalah Texan Bette Nesmith Graham (Graham) mencipta dan memperkenalkan LIQUID PAPER.



Sejarah Liquid Paper:
Graham adalah seorang ibu yang amat berbakat dalam bidang seni. Namun kerana desakan hidup dan harus memelihara anak tunggalnya, Graham tidak meneruskan minatnya dalam bidang itu, sebaliknya bekerja di sebuah bank sebagai setiausaha.

Menaip menggunakan mesin taip (typewriter) merupakan antara tugas utama Graham. Akan tetapi, kerana tidak begitu mahir menggunakan mesin taip, beliau telah melakukan banyak kesilapan. Kerana itu juga, beliau mencari cara-cara untuk memadam kesilapan yang telah dilakukan ketika menaip dokumen.

Idea mencipta Liquid Paper bermula ketika beliau melihat orang mengecat dekorasi tingkap di tempat kerjanya. Jika berlaku kesilapan ketika mengecat, semua kesilapan itu dicat semula dengan cat bewarna putih dan diperbetulkan. Berdasarkan konsep yang sama, Graham kemudiannya mencari idea dan cara yang sesuai untuk diaplikasikan jika kesilapan itu berlaku di atas kertas. Beliau juga telah membuat banyak ujikaji demi mencari warna yang paling hampir dengan warna kertas untuk memadam kesilapannya ketika menaip. Di atas usaha beliau itulah terciptanya produk yang dinamakan sebagai 'Mistake Out'. Botol pertama 'Mistake Out' telah dijual pada tahun 1956 dan pada tahun berikutnya beliau telah berjaya menjual produk ini sebanyak 100 botol sebulan.

Pada tahun 1958, nama 'Mistake Out' telah ditukar kepada Liquid Paper dan syarikat milik Graham terus berkembang. Pada tahun 1968, jualan tahunan syarikat ini mencecah $1 juta dan pada tahun 1972 syarikat ini telah berjaya menjual 5 juta unit Liquid Paper setahun.

Graham meninggal dunia pada tahun 1980, hanya 6 bulan setelah menjual syarikat miliknya kepada Gillette pada harga $47.5 juta.

Walaupun saya tidak pasti tentang jumlah pengunaan Liquid Paper semenjak bermulanya era komputer, cerita ini tetap menjadi inspirasi.

Boleh jadi kesilapan yang kita lakukan hari ini dapat memberi ilham untuk mencipta sesuatu yang baru atau dapat membuat perubahan kepada yang lebih baik, yang bukan sahaja menguntungkan diri sendiri malah dapat memberi manafaat kepada yang lain.

Sekian. Wassalam.

Rujukan : 100 Great Business and The Minds Behind Them
Gambar : Google.








Comments