Anak Angkat, ibu susuan
“Appointment Puan dengan Doktor Fatimah esok, jadi ke?” panggilan dari sebuah klinik pakar sakit puan meingatkan aku pada temujanji yang dibuat pada minggu lalu. Memang hampir terlupa sebenarnya. “Confirm. Esok saya datang pukul 9 pagi”.
Memang sudah aku rancangkan dari awal bersama doktor sakit puan ini. Sekiranya aku berjaya mangambil anak angkat, aku mesti mengambil hormon dalam bentuk suntikan dan beberapa ubat yang lain bagi merangsang pengeluaran susu.Gambar: Ihsan google
Minggu lalu….mungkin juga sudah ditulis sebagai takdir dan rezeki, aku berjaya mendapatkan seorang anak angkat. Rasanya bagai tak percaya. Tapi itulah kenyataan. Aku telah mengambil seorang anak angkat.
Sebenarnya bukan senang untuk membawa orang asing sebagai ahli keluarga. Namun itulah hakikat yang harus aku terima. Risiko untuk aku mengandung lagi terlalu tinggi disebabkan kerosakan teruk pada rahim ketika melahirkan anak dulu. Kini anak sulungku semakin membesar dan mahukan teman. Aku dan suami juga telah lama membincangkan hal ini. Dan kami semua setuju untuk mengambil anak angkat sebagai ahli keluarga baru.Bayi comel yang terpilih itu, aku namakan dia Ahmad Amsyar. Ahmad bermaksud yang terpuji. Amsyar pula bermakna yang cerdas. Semoga dia menjadi anak yang terpuji akhlaknya, cerdas dan juga anak yang soleh.
Aku sememangnya bertekat untuk menyusukan Amsyar. Aku bukan sekadar mahu menjadi ibu angkatnya tapi aku mahukan hubungan yang lebih rapat. Aku mahu menjadi ibu susuannya. Kelak, jika dia menjadi anak susuan, tidak akan timbul masalah aurat atau mahram. Oleh itu, pengambilan hormon sangat perlu kerana aku tidak mengandung dan melahirkan Amsyar.Temujanji aku dengan Doktor Fatimah, pakar sakit puan itu berjalan seperti yang dijanjikan. Aku diberikan suntikan hormon. Tapi aku lupa pula hendak bertanya, apakah nama hormon yang disuntik. Disamping itu aku juga diberikan pil Maxolon (bekalan untuk 2 minggu) bagi menggalakkan lagi pengeluaran susu.
Tindakbalas daripada suntikan hormon dan penggambilan Maxolon memang sangat teruk aku rasakan. Ku anggap itu adalah cabaran pertama. Aku tidak lalu makan, badan terasa lemah yang amat sangat dan aku juga tidak dapat mengelakkan rasa mengantuk yang berpanjangan. Ini adalah masalah besar buat aku ketika itu, kerana aku harus pergi bekerja seperti biasa. Tanggungjawab aku juga sudah bertambah dengan kehadiran Amsyar. Mujur ada suami yang sangat memahami keadaan ku. Bersyukur juga kerana pada ketika itu aku mempunyai seorang pembantu rumah yang sangat cekap dan turut sama menjaga Amsyar. Maklumlah pada masa itu usia Amsyar baru 2 minggu.Selain daripada bantuan suntikan dan pil, aku juga disuruh mengepam payudara bagi menggalakkan pengeluaran susu. Aku harus melalukannya setiap 4 jam. Tak kira di mana, pada bila masa, aku harus melalukannya walau pada ketika itu bayang air susu pun masih belum nampak lagi. Kaedah ini hanyalah untuk merangsang (stimulate) pengeluaran susu. Ini adalah cabaran kedua. Aku harus bangun pada waktu malam, mengikut masa yang ditetapkan dan aku juga harus meluangkan masa di waktu pejabat untuk melakukan aktiviti ini. Agak susah juga, terutamanya bila ada mesyuarat penting atau waktu di mana aku harus bertugas di luar pejabat. Dan apa pula alasan untuk diberikan kepada boss dan pada teman-teman sepejabat ketika keluar mengepam susu, kerana setahu mereka aku sudah lama tidak mengandung dan melahirkan anak.
“Sepatutnya, selepas 2 minggu, air susu dah ada” aku masih teringat lagi kata-kata Doktor Fatimah ketika temujanji tempoh hari. Namun selepas dua minggu aku berusaha, air susu masih belum juga keluar. Aku sedikit kecewa sebenarnya. Namun tetap bersyukur kerana pada ketika itu, aku masih diberi kegigihan dan kecekalan untuk meneruskan usaha. Aku sendiri tidak pasti dari mana aku boleh dapat kekuatan itu.Pam susu yang paling banyak berjasa. Aku masih lagi menyimpannya sebagai tanda kenangan antara aku dan Amsyar.
Aku meneruskan penggambilan pil hormon. Cuma aku tukarkan pengambilan pil daripada Maxolon kepada Motilium setelah mendapat kebenaran dari Doktor Fatimah. Aku rasa, Motilium lebih sesuai kerana tidak rasa begitu mengantuk. Kalau tidak, Allah saja yang tahu bagaimana aku terpaksa berjuang setiap hari demi mengelakkan rasa mengantuk terutamanya di waktu pejabat. Kaedah mengepam juga aku tukarkan. Daripada menggunakan pam manual, aku selang-selikan dengan pam bateri dan seterusnya kepada pam elektrik. Masanya masih sama, iaitu setiap 4 jam.
Pam bateri - Juga masih dalam simpanan
Bayi mestilah menyusu paling kurang sebanyak 5 kali kenyang. Ini berdasarkan hadis mauquf kepada Aishah R.A. yang diriwayatkan oleh Imam Muslim (No 1452) katanya “Pada peringkat awal penurunan Al Quran, penyusuan yang sempurna adalah 10 kali yang mengenyangkan kemudian ia dinasahkan (dibatalkan) hukumnya kepada 5 kali kenyang, sehingga Rasulullah S.A.W diwafatkan”. Di dalam kitab Subul Al-Salam juga diterangkan bahawa penyusuan yang mengenyangkan dikira apabila bayi mula menyusu dan berhenti dengan sendiri apabila kenyang.
Bermacam-macam petua yang aku lakukan, asalkan hasrat aku untuk menyusukan Amsyar berjaya. Daripada memakan pil Asi, fenugreek pills, ubat periuk, jamu, ditambah lagi dengan pil-pil modern yang sedia ada, semuanya ditelan. Namun haslinya masih sedikit. Aduhai....Pam Elektrik : Sumber dari Google.
Berbekalkan doa dan juga sokongan daripada keluarga serta rakan-rakan rapat, aku cekalkan hati. Tetap juga gigih mengumpul setiap titis susu yang dipam. Sedikit demi sedikit. Dari 1oz ke 2oz dan seterusnya, akhirnya aku berjaya menyusukan Amsyar dengan cara ini (susu dikumpul hingga cukup 2oz ke 3oz dan diberikan kepada Amsyar melalui botol susu) dan membuatnya kenyang lebih 10 kali. Setelah itu barulah aku yakin untuk menyusukan Amsyar secara direct breastfeeding.
Peralatan ini juga masih ku simpan rapi. Agak mahal juga. Tapi, telah berjasa pada aku dan Amsyar.
Tidak dapat aku gambarkan bagaimana perasaanku ketika betul-betul berjaya menyusukan Amsyar. Rasa sangat gembira, rasa sangat sayang, semuanya ada. Seolah-olah dia anak kandungku sendiri. Seperti tiada jurang antara kami. Aku berjaya menyusukan Amsyar sehingga usianya 6 bulan. Walaupun tidak dapat melakukannya sehingga Amsyar 2 tahun, aku tetap bersyukur. Sekurang-kurangnya, dia sah menjadi anak susuanku.
Pengalaman ini sebenarnya sangat berharga buat aku. Amsyar telah mengajar aku banyak perkara. Aku mula faham erti gigih dan terus berusaha. Aku belajar maksud sabar, tawakkal dan yakin. Sesuatu yang hampir mustahil akhirnya berjaya dilakukan sekiranya kita yakin dan terus berusaha.Semoga catatan pengalaman ini memberi manafaat kepada semua terutamanya kepada wanita-wanita yang ingin menyusukan anak angkat. Berdasarkan pengalaman sebenar, ia boleh dilakukan. Yang paling penting ialah komitmen, keyakinan dan usaha. In Shaa Allah. Anda boleh melakukannya.
Sekian. Wassalam.*Cerita di atas adalah berdasarkan pengalaman sebenar seorang rakan.
Untuk herba2 yang berkaitan untuk menambah susu, boleh rujuk kepada artikel "List of Galactagogues - Herbs that increase breastmilk production" (https://herblore.com)
Untuk herba2 yang berkaitan untuk menambah susu, boleh rujuk kepada artikel "List of Galactagogues - Herbs that increase breastmilk production" (https://herblore.com)
Comments
Post a Comment